KOTA KINABALU: Semua Pengerusi, setiausaha dan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini diminta menjalankan tugas dan tanggungjawab sepertimana diamanahkan sehingga diberitahu oleh Kerajaan Negeri kelak.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata perlantikan MPKK masih merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri, manakala Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembayaran elaun.
“Saya mengambil maklum banyak pertanyaan daripada wakil-wakil rakyat dan anggota MPKK berkaitan surat pemakluman penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK di seluruh negara yang dikeluarkan oleh KPLB Persekutuan.
“Saya mengesahkan KPLB Sabah telah menerima pemakluman tersebut dan ianya sudahpun tular, menerangkan maksudnya, iaitu penangguhan sementara urusan berkaitan MPKK, sementara menunggu perlantikan penuh Kabinet Persekutuan yang baharu.
“Saya akan mengangkat isu ini ke mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada Rabu minggu depan, 11 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ewon berkata, Kerajaan Negeri Sabah menerusi KPLB Sabah telah menerima peruntukan pembayaran elaun bagi bulan Januari 2020 hingga Jun 2020.
“Saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selanjutnya selepas perkara ini dibincang di mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu hadapan,” tambah beliau.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong