COVID-19 : MTI TUBUH TASK FORCE TANGANI ISU LIBATKAN PENGGIAT INDUSTRI

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah menubuhkan satu pasukan petugas atau ‘task force’ bagi menangani isu-isu yang dihadapi penggiat industri ekoran penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pelbagai aduan yang perlu ditangani segera telah diterima kementeriannya semenjak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa pada 18 Mac lalu.

“Sebagai contoh sebuah syarikat pembekal oksigen kepada seluruh hospital di Sabah tidak dapat menjalankan operasinya dengan sempurna kerana menghadapi kekangan termasuk dalam bidang logistik.

“Ini kerana logistik tidak tertakluk dalam kebenaran untuk melakukan operasi berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan; namun jika ini dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan kekurangan bekalan oksigen untuk kegunaan pesakit yang dirawat di hospital termasuk mereka yang menghidap Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas kementeriannya bersama wakil-wakil penggiat industri di Sabah, di sini hari ini.

Madius, berkata task force itu diketuai oleh Setiausaha Tetap (SUT) MTI , Datuk Madiyem Layapan dan dianggotai oleh semua ahli mesyuarat yang hadir.

Katanya, pasukan itu akan bermesyuarat setiap hari untuk membincangkan dan sekali gus mencari penyelesaian untuk sebarang aduan yang diterima daripada pihak industri.

“Kita sememangnya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berwajib dalam usaha memerangi penularan wabak pandemik Covid-19 ini.

“Tapi dalam masa yang sama kita juga memikirkan sebarang permasalahan para pemain industri kerana kita tidak mahu ada isu yang terlepas pandang seperti contoh yang saya nyatakan tadi.

“Setiap hasil perbincangan di peringkat task force ini kemudiannya akan dipanjangkan ke peringkat Bilik Gerakan negeri untuk tujuan kelulusan segera bagi membolehkan kita melakukan proses tindakan lanjut,” tambah Madius.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden Persekutuan Industri Sabah (FSI), Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau; Penasihat Teknikal FSI, Datuk Ir. Chong Hon Len; Pengerusi Persekutuan Pengilang Malaysia (FFM) Sabah, James Ha Haw Yew; Ketua Pegawai Eksekutif Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) Sdn Bhd, Datuk Ir. Melvin Disimond; dan Pengurus Besar Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sdn. Bhd. Lynette Hoo; Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tommie Lajawai; Pengarah Pengurusan Sumber Manusia Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) Sdn. Bhd. Walter Alex Sundang; wakil dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia cawangan Sabah serta wakil-wakil persatuan penggiat industri di negeri ini./BERITA SABAH