KOTA KINABALU: Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Safar Untong berkata pintu masuk sempadan antara Sabah dan Sarawak di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sindumin-Merapok akan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam sahaja bermula hari ini.
Sebelum ini operasi ICQS Sindumin-Merapok adalah dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.
Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre pada hari ini dalam usaha mencegah penularan virus berkenaan.
“Selain itu jadual baharu perkhidmatan keretapi negeri Sabah juga telah ditetapkan bermula hari ini khusus untuk tujuan perkhidmatan yang perlu sahaja.
“Operasi keretapi dari Kota Kinabalu ke Beaufort telah dihentikan manakala perkhidmatan Beaufort ke Halogilat beroperasi empat kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4.30 petang (pergi/balik). Perkhidmatan dari Halogilat-Rayoh juga dihentikan, manakala Rayoh ke Tenom empat kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4 petang (pergi/balik),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Safar berkata kerajaan negeri juga memutuskan iaitu gelandangan ditempatkan sementara di pusat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.
Beliau berkata kerajaan negeri juga membenarkan operasi kilang memproses makanan dan pengangkutan bahan makanan seperti beras, sayur dan ikan untuk kegunaan domestik.
Semua ketua kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar hendaklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah seliaan masing-masing.
Selain itu, kerajaan negeri turut menegaskan supaya semua perhimpunan awam dan majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan dan acara-acara adat melibatkan orang ramai hendaklah dibatalkan.
“Sekatan jalan raya di seluruh negeri Sabah sedang dikuatkuasakan untuk mempastikan arahan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi. Orang awam dipohon untuk memberi kerjasama sepenuhnya,” kata beliau./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ