COVID-19 : SABAH MENINGKAT 21 KES, RANAU MULA ‘TERPALIT’

KOTA KINABALU: Sabah mencatat pertambahan 21 kes Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 158 berbanding 136, semalam.

Negeri ini juga masih kekal negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dengan 309 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 183 kes.

Statistik terbaharu Covid-19 berkenaan disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Daerah paling banyak mencatat peningkatan hari ini ialah Tuaran dengan enam kes terbaharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 kes.

Selain itu, Kota Kinabalu juga mencatat lima kes terbaharu, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22 kes manakala Tawau dan Sandakan meningkat sebanyak tiga kes menjadikan jumlah keseluruhan di daerah berkenaan masing-masing sebanyak 40 dan 11 kes.

Tawau juga setakat ini menjadi daerah paling banyak mencatatkan kes Covid-19 di Sabah.

Sementara itu, Ranau mula ‘terpalit’ dengan Covid-19 apabila daerah terbabit mencatat dua kes pertama, hari ini.

Lahad Datu, Putatan dan Papar pula masing-masing meningkat satu kes menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah itu masing-masing sebanyak 33, empat dan dua kes.

Dalam pada itu, enam daerah lain yang sebelum ini mempunyai kes Covid-19 tidak mencatat kes baharu, hari ini, dan masih kekal dengan jumlah sebelum ini iaitu Kinabatangan sebanyak 11 kes, Beaufort (6), Kota Belud (5), Kunak (5), Sipitang (4), dan Semporna (1).

Setakat ini, kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di negeri ini kekal satu kes iaitu di Tawau./BERITA SABAH