PENGERUSI MPKK TERMUDA KIULU GUNA ELAUN SENDIRI BANTU AKAR UMBI

KIULU: Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) kerana wabak COVID-19 mencetuskan kesedaran seorang pemimpin muda untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang ada keperluan mendesak.

“Saya tahu beberapa buah keluarga sememangnya sangat kekurangan. Penuh keinsafan dan rendah hati, saya luangkan sedikit masa kelmarin bukan sahaja menyampaikan apa yang terdaya, tetapi juga untuk mengambil tahu keadaan terkini mereka,” kata Jainysius Sipan, Pengerusi Majlis
Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Kg Bambangan Lama Ulu yang merangkumi Kg Bambangan Lama dan Kg Baraba di sini.

“Ya, saya membeli sendiri barangan itu menggunakan elaun saya sebagai pengerusi MPKK. Pakej yang saya hulurkan kepada 21 keluarga itu tidaklah seberapa sangat, namun semoga ia menjadi tanda simbolik keprihatinan kepimpinan kampung kepada sesama kita,” katanya lagi.

PRIHATIN… Jainysius (kiri) naik turun bukit semata-mata untuk menghulurkan sedikit sumbangan termasuk mereka yang kebetulan berada di bendang.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai klip video beliau  yang tular di media sosial seperti FACEBOOK dan aplikasi pesanan ringkas WHATSAPP.

Jainysius, 25, pengerusi MPKK termuda di kawasan Kiulu yang dilantik tahun lalu, menambah, sumbangan beliau itu juga adalah sempena Musim Prapaska, iaitu masa berpuasa bagi umat Katolik seluruh dunia yang akan berakhir pada Jumaat Agung, 10 April kelak. Antara pengisian prapaska ialah berbuat amal kebajikan.

IKHLAS … Jainysius (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ketua keluarga kelmarin.

Ketika ditanya mengenai bantuan khas daripada kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri pada minggu lalu, Jainysius berkata, beliau sudah menghantar senarai ketua keluarga yang layak kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kiulu.

“Saya difahamkan senarai itu akan diperincikan dan bantuan akan dihantar kepada penerima secepat yang boleh. Kelmarin, rata-rata ketua keluarga yang saya temui sangat memahami bahawa bantuan seperti daripada kerajaan itu adalah sangat terbatas. Akar umbi seperti kami juga sedar, ada keluarga yang jauh lebih susah berbanding kami,” katanya lagi. Pakej sumbangan kelmarin, antara lain, adalah berupa makanan dalam tin, kopi, gula, tepung, biskut dan makanan segera.

WARGA desa ini terkedu dan terperanjat didatangi oleh Jainysius (kiri) yang menghulurkan sendiri sumbangan di Kg Baraba dan Kg Bambangan Lama Ulu… amal prapaska

Jainysius diiringi Alvetus Sipan, Jiterneson Sudin dan Rexwelly Sudin dalam misi penghantaran itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana jarak yang jauh dan kondisi jalan yang cukup mencabar./BERITA SABAH