KIULU: Perintah Kawalan Pergerakan (KPK) kerana wabak COVID-19 mencetuskan kesedaran seorang pemimpin muda untuk turun padang menghulurkan bantuan kepada mereka yang ada keperluan mendesak.
“Saya tahu beberapa buah keluarga sememangnya sangat kekurangan. Penuh keinsafan dan rendah hati, saya luangkan sedikit masa kelmarin bukan sahaja menyampaikan apa yang terdaya, tetapi juga untuk mengambil tahu keadaan terkini mereka,” kata Jainysius Sipan, Pengerusi Majlis
Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Kg Bambangan Lama Ulu yang merangkumi Kg Bambangan Lama dan Kg Baraba di sini.
“Ya, saya membeli sendiri barangan itu menggunakan elaun saya sebagai pengerusi MPKK. Pakej yang saya hulurkan kepada 21 keluarga itu tidaklah seberapa sangat, namun semoga ia menjadi tanda simbolik keprihatinan kepimpinan kampung kepada sesama kita,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai klip video beliau yang tular di media sosial seperti FACEBOOK dan aplikasi pesanan ringkas WHATSAPP.
Jainysius, 25, pengerusi MPKK termuda di kawasan Kiulu yang dilantik tahun lalu, menambah, sumbangan beliau itu juga adalah sempena Musim Prapaska, iaitu masa berpuasa bagi umat Katolik seluruh dunia yang akan berakhir pada Jumaat Agung, 10 April kelak. Antara pengisian prapaska ialah berbuat amal kebajikan.

Ketika ditanya mengenai bantuan khas daripada kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri pada minggu lalu, Jainysius berkata, beliau sudah menghantar senarai ketua keluarga yang layak kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kiulu.
“Saya difahamkan senarai itu akan diperincikan dan bantuan akan dihantar kepada penerima secepat yang boleh. Kelmarin, rata-rata ketua keluarga yang saya temui sangat memahami bahawa bantuan seperti daripada kerajaan itu adalah sangat terbatas. Akar umbi seperti kami juga sedar, ada keluarga yang jauh lebih susah berbanding kami,” katanya lagi. Pakej sumbangan kelmarin, antara lain, adalah berupa makanan dalam tin, kopi, gula, tepung, biskut dan makanan segera.

Jainysius diiringi Alvetus Sipan, Jiterneson Sudin dan Rexwelly Sudin dalam misi penghantaran itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana jarak yang jauh dan kondisi jalan yang cukup mencabar./BERITA SABAH


More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ