SANDAKAN: Pepatah mengatakan kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Ia ungkapan layak diberikan kepada seorang bapa muda yang sanggup berkorban mengayuh basikal kira-kira 1.5 kilometer dari Kampung Bakau ke Kampung Sundang Darat, di Batu Sapi, di sini untuk mengejar sebuah van yang sedang mengedarkan bantuan makanan, selepas terputus bekalan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tindakan bapa muda dikenali sebagai Fendi, 28, itu demi memastikan isteri serta dua anak termasuk seorang yang baru dilahirkan menerusi pembedahan, dapat melangsungkan kehidupan.
Berkongsi mengenai cerita itu di Facebook, Yunizam Yusop iaitu Pengurus Persatuan Generasi Prihatin Sabah, sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), berkata dia bersama beberapa ahli persatuan sedang menghantar bantuan makanan kepada keluarga miskin.
Menerusi hantaran itu, Yunizam berkata, bapa muda itu datang kepada mereka dalam keadaan termengah-mengah dan merayu diberikan bantuan kerana bekalan makanan sudah terputus.
“Tiada apa-apa sudah di rumah kami. Tolonglah tuan, saya merayu.
“Mukanya sangat-sangat memerlukan ketika itu. Dari air mukanya dan bebola matanya saya tengok seribu pengharapan diberikan kepada kami.
“Namun pada hari itu, kami tidak dapat memberikannya apa-apa sumbangan kerana barangan yang ada sudah ada pemiliknya,” katanya.

Menerusi hantaran itu juga, Yunizam berkata, lelaki terbabit terpaksa berlalu pergi tanpa mendapat apa-apa bantuan.
“Sebelum dia berlalu pergi, saya berikannya nombor telefon untuk kami usahakan barangan. Alhamdulilah, kemarin petang usaha dan doanya Allah telah makbulkan,” katanya.

Hantaran Yunizam yang turut dikenali Abam Botak di Facebook mendapat 874 perkongsian.
Yunizam berkata, beberapa hari lalu, beliau cuba menjejaki rumah bapa muda berkenaan dan hasil pertemuan mendapati lelaki itu cuma bekerja di kilang membuat bebola ikan dan tidak dapat bekerja dalam tempoh PKP./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ