PEMASSA TERIMA SUMBANGAN ALAT PERLINDUNGAN

SANDAKAN: Persatuan Media Sandakan Sabah (PEMASSA) menerima sumbangan peralatan perlindungan dan hand sanitizer dari beberapa pihak untuk kegunaan ahli persatuan yang bertugas di barisan hadapan ‘Op Covid-19’, di daerah ini.

Pengerusi PEMASSA, James Leong, mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang atas keprihatinan mereka dan juga Ahli Jawatankuasa PEMASSA dalam menjayakan usaha ini.

James berkata penyumbang tersebut terdiri dari tiga pemimpin politik tempatan serta seorang individu yang menetap di Singapura manakala seorang peniaga kedai hardware turut menyumbang topeng penutup muka kepada PEMASSA.

“Walaupun sumbangan kewangan yang diperolehi tidak banyak tetapi ia membolehkan persatuan membeli topeng penutup muka secara dalam talian (online) untuk diagihkan kepada seramai 30 ahli persatuan dan juga beberapa pengamal media lain yang bukan ahli persatuan.

“PEMASSA telah mengagihkan topeng penutup muka pada Khamis lepas dan dijangka akan menyampaikan lagi peralatan perlindungan tersebut dalam tempoh terdekat apabila tempahan tiba nanti,” katanya.

James turut memberitahu bahawa PEMASSA mengambil berat tentang keselamatan ahli-ahli persatuan yang bertugas di barisan hadapan ‘Op Covid-19’.

Sementara itu, James berharap masyarakat di Sandakan akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam usaha Kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara kita.

“Warga Sandakan perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan duduk di rumah sepanjang tempoh pelaksanaan PKP demi kebaikan semua dan juga menghargai pengorbanan pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Covid-19 ini,” katanya./BERITA SABAH