KOTA KINABALU: Lima kematian akibat Covid-19 yang direkodkan di Malaysia adalah berpunca daripada kluster baharu wabak berkenaan di Sarawak iaitu daripada rakyat Malaysia yang melancong ke Itali.
Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya, hari ini, berkata kluster berpunca daripada pesakit ke-1,580 itu, dikesan menjangkiti 37 kes lain termasuk lima kematian serta seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan dalam unit rawatan rapi (ICU).
Noor Hisham, menjelaskan kluster berpunca ‘kes import’ yang sebelum ini dibimbangi bakal mencetuskan gelombang baharu itu, kini membabitkan jangkitan sehingga generasi ketiga.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 180 negara di seluruh dunia yang terjejas akibat jangkitan Covid-19.
“Justeru, sememangnya wujud risiko bagi kes-kes Covid-19 luar negara diimport dan mengakibatkan penularan di dalam negara.
“Selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang disediakan.
“Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan bagi mengesan demam dan gejala Covid-19, manakala ujian pengesanan akan dijalankan serta mereka dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin,” katanya.
Susulan kluster kes import sedemikian, Dr Noor Hisham menegaskan supaya masyarakat memberikan maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19.
Selain itu, katanya, maklumat berkaitan perjalanan ke luar negara atau pernah terbabit dalam sebarang perhimpunan yang diumumkan kementerian sebagai berkait rapat dengan jangkitan Covid-19, tidak wajar disembunyikan daripada petugas kesihatan.
“Sekiranya ada yang bergejala semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa atau ketika berada di stesen kuarantin, mereka akan dihantar ke hospital yang dikenal pasti untuk pemeriksaan dan rawatan.
“Mereka yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian pengesanan sampel yang dijalankan, akan dirujuk ke hospital dikenalpasti untuk tujuan pengasingan, pemeriksaan, rawatan dan pemantauan.
“Ini adalah untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 kepada masyarakat dan seterusnya membendung wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ