KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) hari ini menyerahkan geran peruntukan sebanyak RM2,549,000 untuk diagihkan kepada persatuan yang berdaftar dengan Majlis Belia Sabah (MBS).
Menterinya, Phoong Jin Zhe berkata geran berkenaan akan diagihkan kepada 14 persatuan yang berdaftar dengan MBS dan ia adalah dana untuk melaksanakan pelbagai program membantu para belia di negeri ini.
“Geran ini adalah 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya diagihkan pada persatuan berkenaan pada tahun ini. Namun berikutan beberapa faktor termasuk prestasi persatuan berkenaan pada tahun lepas, geran itu kita akan berikan melalui dua fasa.
“Kementerian akan pantau bagaimana persatuan-persatuan berkenaan menggunakan peruntukan itu. Sekiranya ia dapat dibelanjakan dengan baik maka geran selebihnya akan diberikan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian geran berkenaan di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan kementerian untuk tidak menyalurkan geran berkenaan secara ‘one off’ seperti tahun-tahun lepas adalah untuk memastikan peruntukan berkenaan dapat digunakan dengan baik dan dapat memberikan manfaat kepada golongan belia di Sabah.
Sehubungan itu, Phoong meminta persatuan berkenaan dapat memikirkan pelbagai cara untuk membantu dan menyantuni para belia dalam kehidupan normal baharu kini selepas adanya wabak Covid-19.
“Persatuan tidak lagi boleh melakukan aktiviti yang melibatkan ramai orang…oleh kita perlu memikirkan cara yang terbaik untuk menyantuni para belia… contohnya persatuan boleh melaksanakan program kursus atau seminar melalui atas talian.
“Kursus atas talian bukan sahaja mengurangkan kos, malah ia adalah cara terbaik pada masa kini untuk berhubung dan melaksanakan segala aktiviti bersama belia,” tambahnya.-http://beritasabah.com

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad