MINUMAN BERALKOHOL : KERAJAAN SABAH HORMATI HAK MASYARAKAT BUKAN ISLAM

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menghormati hak masyarakat bukan Islam di negeri ini yang minum minuman beralkohol kerana ianya sebahagian daripada budaya mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata walaupun tiada larangan daripada kerajaan negeri untuk minum minuman beralkohol, namun mereka yang meminumnya perlulah mengawal diri dan bertanggungjawab bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kemalangan jalan raya.

“Bagi saya, minum (minuman beralkohol) adalah sebahagian daripada budaya dan tradisi terutama ketika menyambut Kaamatan dan juga Gawai. Jika mereka mahu minum boleh, tetapi kita harus tahu peraturan di jalan raya, mesti ada kawalan bagi mengelak kemalangan yang membabitkan kehilangan nyawa.

“Ianya tidak mengapa jika mereka (Kerajaan Persekutuan) mahu menguruskannya…jadi saya serahkan kepada persekutuan jika mereka mahu mengkaji semula (undang-undang penjualan minuman beralkohol),” katanya, hari ini.

Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan daripada beberapa pihak yang mahu Kerajaan Persekutuan mengharamkan penjualan alkohol serta membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan minuman beralkohol berikutan peningkatan kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu mabuk.

Kelmarin, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Zuraida Kamaruddin berkata kementeriannya mungkin mempertimbangkan cadangan untuk mengkaji semula undang-undang berkenaan penjualan minuman beralkohol.

Baru-baru ini juga, Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin turut menyuarakan pendapat sekiranya pengeluaran dan penjualan alkohol dihentikan secara keseluruhan, ia mencabuli hak masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.-http://beritasabah.com