DUA LELAKI FILIPINA DITAHAN BERSAMA SYABU

TAWAU: Dua lelaki warga Filipina ditahan bersama 100.24 gram dadah jenis syabu di perairan Tinagat, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek dikatakan menaiki bot ke Batu 4, Jalan Apas sebelum terserempak dengan Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan rondaan, kira-kira jam 6.40 petang.

Suspek yang masing-masing berusia 20 dan 29 tahun kemudian cuba melarikan diri sehingga ke perairan Tinagat.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintenden Mohd Nazari Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, seorang daripada suspek terjun ke laut, namun berjaya ditahan.

Katanya, anggota PPM kemudian menemui bungkusan plastik berisi syabu yang dianggarkan bernilai RM11,000 dalam bot berkenaan.

“Dadah, perahu dan enjin dirampas bagi membantu siasatan.

“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini, hari ini.-http://beritasabah.com