SUAMI TETAK ISTERI KERANA MENEGURNYA TIDAK PERGI KERJA

KOTA KINABALU: Berang ditegur kerana tidak pergi kerja, seorang lelaki bertindak menetak isterinya menggunakan parang dalam kejadian di bilik sewa mereka di Kampung Sinulihan, Inanam, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.28 malam itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan menegur suaminya kerana tidak pergi kerja selama empat hari dan melarang suspek terbabit dalam pengambilan dadah syabu.

Berikutan itu, suspek tidak puas hati dan menuduh mangsa memberitahu hal berkenaan kepada jiran tetangga lalu lalu berlaku pertengkaran sebelum menetak isterinya dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek bertindak mengambil parang dan cuba menetak mangsa namun dia menahan parang berkenaan menggunakan kedua-dua belah tangannya.

“Akibat itu mangsa cedera di kedua belah tangannya. Suspek kemudian melibas parang sekali lagi ke arah mangsa dan terkena pada bahagian dahinya.

“Kejadian itu disedari oleh jiran mereka dan meleraikan pergaduhan itu sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, sepasukan polis yang tiba sebaik menerima maklumat itu bertindak menahan suspek dan merampas senjata jenis parang.

“Mangsa yang luka dan berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut. Mangsa mendapat beberapa jahitan di tangan kanan dan kiri.

“Suspek berusia 37 tahun yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak puas hati apabila ditegur oleh isterinya kerana tidak pergi kerja dan melarang suspek terbabit pengambilan syabu.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *