SOKONGAN TERHADAP UPKO DI BENGKOKA SEMAKIN KUKUH

KUDAT: Sokongan terhadap Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di bahagian Kudat terus meningkat terutama di kawasan Bengkoka apabila kini mempunyai seramai 7,232 ahli.

Jumlah itu termasuk 40 borang menyertai UPKO yang disampaikan kepada Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, semalam.

Penyerahan borang penyertaan itu juga adalah sempena lawatan pucuk pimpinan UPKO ke pejabat UPKO bahagian Kudat di Kanibongan, dekat sini.

“Saya dapati pentadbiran bahagian UPKO Kudat bertambah baik terutama di CLC Bengkoka yang diketuai saudara Richard Mazagi.

“Ini satu petanda baik namun saya mahu bahagian ini menggandakan lagi gerak kerja mereka sebagai persiapan menghadapai pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap sempena lawatan itu.

Turut hadir, ialah Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin, Ahli Majlis Penasihat UPKO Tan Sri Wences Angang, Naib-naib presiden, Datuk Ewon Benedick Datuk Abidin Madingkir dan Felix J. Saang, Setiausaha Agung, Nelson Angang, Ketua Penerangan UPKO, Albert Bingkasan, Ketua Wanita UPKO, Juliana Jali serta Ketua Bahagian UPKO Kudat, Mapaham Ruminzing.

Sementara itu ketika melakukan lawatan di bahagian UPKO Kota Marudu, Madius turut menerima 500 lagi borang keahlian daripada Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Padis Majingkin.

“Saya juga gembira kerana bahagian UPKO di sini (Kota Marudu) termasuk tiga CLC di kawasan ini iaitu Matunggong, Bandau dan Tandek dalam keadaan siapsiaga dalam pelayanan, perkhidmatan dan perjuangan membela rakyat,” katanya.

Sementara itu, Madius turut berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan bahagian UPKO Kota Marudu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Selepas mendengar taklimat daripada pengarah PRU15 UPKO Kota Marudu, Datuk Latif Kandok, saya dan Ketua Pengarah Jentera PRU15 UPKO, Tan Sri Wences Anggang berpuas hati dengan persiapan di sini.

“Bagaimanapun, seperti mana saya katakan di Kanibongan, bahagian Kota Marudu juga perlu bekerja keras dengan menggandakan lagi gerak kerja mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat,” katanya lagi.

Terdahulu, skuad Penerangan UPKO yang diketuai Bingkasan turut memberi taklimat serta penerangan mengenai penjenamaan semula serta perjuangan UPKO kepada pemimpin serta ahli UPKO bahagian Kudat di Kanibongan.-http://beritasabah.com