BUKTIKAN 2,000 AHLI PKR KELUAR PARTI

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan menghantar notis tuntutan (notice of demand) kepada timbalan ketua cabang Kalabakan, Mohd Jailani Chachu untuk membuktikan bahawa terdapat 2,000 ahli di kawasan parlimen tersebut telah keluar parti bersama beliau.

Pengarah Komunikasi PKR Sabah Adam Fistival Wilfrid dalam satu kenyataan hari ini berkata kegagalan berbuat demikian akan memaksa parti untuk meneruskan tindakan undang-undang keatas beliau dan rakan-rakan beliau yang telah membuat dakwaan tersebut dalam sidang media kelmarin.

“Kami menuntut beliau membuktikan siapa 2,000 ahli parti ini. Sertakan nombor keahlian dan tandatangan mereka sekali. Jangan cakap sahaja untuk tujuan publisiti murahan,” katanya.

Menurut Adam, bentuk kenyataan seperti yang dibuat oleh Mohd Jailani sudah lapuk dan muak bagi masyarakat khasnya mereka-mereka yang mengikuti perkembangan politik semasa di Sabah mau pun di Malaysia.

“Malah ia sudah menjadi bahan ketawa oleh masyarakat. Kenapa tidak. Setiap kali seseorang itu keluar dari mana-mana parti politik, dia akan mendakwa keluar bersama ramai lagi ahli yang lain. Betul kah tidak, hanya dia yang tahu.

“Bentuk kenyataan seperti ini sudah lapuk dan tidak laku. Masyarakat bukan bodoh. Mungkin Mohd Jailani ingin menjual dirinya seolah-olah beliau ni berharga kerana mempunyai pengikut yang begitu ramai.

“Sekiranya benar, sila bagi nama, nombor keahlian dan tandatangan mereka sekali. Itu barulah cara yang betul dan bermaruah,” cabar Adam.

Mohd Jailani dalam kenyataan media beliau kelmarin mendakwa telah keluar dari parti bersama 2,000 ahli atas alasan hilang kepercayaan dan sebagai tanda solidariti dengan bekas ketua pemuda PKR Kalabakan Asis Bakri yang telah dipecat oleh parti April lepas.

Adam mendakwa bahawa alasan yang diberikan oleh Mohd Jailani melihatkan sifat mementingkan diri sendiri.

“Kenapa perlu bersolidariti atas pemecatan saudara Asis Bakri dimana beliau memang sudah menyatakan pendiriannya dari awal menyokong kepimpinan Azmin Ali? Dan mengapakah memilih Perikatan Nasional sedangkan merekalah yang membawa kepada episod pengkhianatan yang membawa kepada jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih secara sah melalui mandat rakyat?”

“Lebih baik berterus terang, tidak perlu guna alasan solidariti. Siapa tahu dimasa akan datang apabila beliau berada didalam parti yang lain, alasan yang sama juga akan digunakan bila masa beliau ingin cabut lari atas demi kepentingan diri sendiri,” kata Adam.

Katanya, individu seperti ini tidak boleh digelar pemimpin tetapi sebaliknya hanya seorang yang mencari peluang dalam pentas politik.

Sehubungan dengan itu, katanya, PKR Sabah mengeluarkan nama-nama ahli yang telah dipecat atau digantung keahliannya iaitu Kong Hong Ming, Roland Chia, Haris Thomas Tupang, Pagrios Petrus Zabang, dan Aslan Kansut yamg digantung manakala Jonathan Yasin, Rahimah Majid dan Jaffari William dipecat.

Tambah beliau mereka yang digantung kini menunggu pertuduhan dan sesi pendengaran sebelum dijatuhkan hukuman.-http://beritasabah.com