SIMON : JEFFREY, MAXIMUS SANGGUP SOKONG PEMBERIAN IMM13 UNTUK TERUS BERTAHAN

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah, Tan Sri Simon Sipaun menyifatkan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan serta Presiden Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili umpama jurujual yang mahu melariskan produk jualan.

Menurut laporan portal berita Borneo Today, Simon berkata walaupun Jeffrey dan Maximus tidak yakin dengan pemberian dokumen IMM13, namun mereka sanggup menyokong langkah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana mahu memastikan karier politik masing-masing terus laku dan mampu bertahan.

“Saya rasa bagi mereka yang lebih penting adalah meneruskan karier politik, dalam politik anda mesti menjadi seorang jurujual yang mampu menjual produk anda walaupun anda sendiri tidak yakin dengan produk yang mahu dijual itu.

“Apa yang penting ialah anda selamat, banyak kenyataan yang diberikannya nampak bagus tetapi saya tidak tahu mana arah tujuannya, tetapi untuk menjadi ahli politik anda perlu seperti itu,” katanya dalam laporan berita itu.

Simon berkata demikian ketika diminta mengulas oleh Borneo Today berhubung kenyataan Jeffrey dan Maximus yang menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memberikan IMM13 kepada semua warga asing pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.

Beliau berkata, ketika masih di dalam pembangkang, kedua-dua pemimpin berkenaan lantang menentang pemberian dokumen itu, namun mereka kini menjadi penyokong selepas menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya tidak rasa perkara ini boleh diselesaikan kerana agenda kerajaan terhadap Sabah, saya berkata demikian kerana pada akhir 1960-an dan awal 1970-an, ada juga sekumpulan pelarian datang ke Malaya tetapi mereka ditempatkan di Pulau Bidong dan selepas dua tahun mereka balik kerana bukan Islam tetapi yang datang ke Sabah orang-orang Islam.

“Ini bukan agenda tersembunyi tetapi secara terang-terangan cuma orang ramai tidak mahu mengakuinya, ini pandangan saya dan saya ada asas untuk menyokongnya,” katanya.

Simon berkata, tidak ada istilah pelarian boleh diguna pakai kepada golongan tersebut selain daripada warga asing kerana Malaysia tidak pernah menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1976 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mencari langkah terbaik untuk menghantar kesemua golongan berkenaan bukannya diberikan dokumen untuk terus tinggal di Sabah.