JANRYWINE : HENTIKAN POLITIK ‘JIJIK’

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Orang Sani Tempatan Sabah (POST’S), Janrywine J Lusin berkata, topik perdebatan dalam gelanggang politik Sabah ketika ini tidak memberikan didikan yang positif kepada pengundi muda yang baru belajar memahami kepentingan politik dalam mencorak halatuju pentabiran sesebuah kerajaan.

Katanya, mereka yang menggelar diri sebagai pemimpin telah melakar ‘didikan awal’ kepada generasi muda dengan isu-isu yang remeh, malah tidak terkecuali yang bermotifkan serangan peribadi dan perkauman semata-mata dan tidak masuk akal.

“Malaysia yang bakal mencapai usia 57 tahun daripada tarikh pembentukkannya iaitu sejak 16 September 1963, seharusnya mempamerkan kematangan dalam mengetengahkan agenda politik serta isu-isu yang ingin dibawa dalam kempen.

“Usia 57 tahun negara adalah sangat muda dan masih perlu lagi banyak perancangan agenda pembangunan sosio-ekonomi, seperti mana negara-negara jiran Asia yang lain, namun, malangnya, semakin hari isu yang hangat dijaja oleh pelbagai pihak parti yang bakal bertanding pada PRN16 (Pilihan Raya Negeri Ke-16) Sabah lebih kepada isu peribadi dan suku kaum individu-individu tertentu dengan tujuan ingin menjatuhkan air muka dan seterusnya reputasi sebagai seorang calon wakil rakyat pada PRN akan datang.

“Saya secara peribadi berasa amat malu dan jijik dengan pendekatan-pendekatan strategi serangan peribadi seumpama ini. Adakah ini yang ingin kita perkenalkan kepada Malaysia amnya bahawa strategi ini adalah normal? Inikah juga yang akan kita didik kepada bakal pengundi baharu bahawa ‘anda harus bermain kotor untuk menang dalam kempen politik?’ Adakah ini yang turut terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Janrywine yang juga pengerusi Kelab Rekreasi Artis Sabah berkata, menjelangnya PRN, ahli politik seharusnya membincangkan kepentingan isu-isu berkaitan sosio-ekonomi dan politik dalam merangka agenda halatuju pembangunan negara yang kini kritikal.

“Mengapakah ancaman dan kesan pandemik Covid-19 seakan tidak wujud dalam kempen politik?

“Bagi saya, selaku Presiden sebuah pertubuhan serta pengerusi kelab yang mana kebanyakan ahli adalah terdiri dari kalangan belia, turut dapat melihat kekecewaan di wajah para ahli akibat senario yang berlaku ini.

“Isu-isu dalam kempen sepatutnya boleh menjadi medan menjana formula bagi mendepani permasalahan semasa negara dan negeri Sabah sendiri. Ini yang sebenarnya para belia dahagakan kerana mereka (belia) bukan lagi seperti katak dibawah tempurung. Meski ada pihak yang mengatakan ‘welcome to the politics world ’, janganlah kita sengaja sajikan para belia dengan agenda tidak matang yang boleh merosakkan identiti bangsa dan negara.

“Kita sentiasa mempunyai pilihan untuk memupuk nilai-nilai positif kepada bakal pelapis pentadbiran negara amnya, dan negeri Sabah yang tercinta khasnya,” katanya lagi.-http://beritasabah.com