ZAHID KATA SEDANG RUNDING TAPI PCS DAN LDP KATA TIADA KAITAN

KOTA KINABALU: Rundingan berkaitan pengagihan kerusi Barisan Nasional (BN) dengan parti gabungan lain dijangka akan dimuktamadkan seminggu sebelum tarikh penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, dalam sidang media semalam berkata, rundingan dibuat antara beberapa parti termasuk MCA, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Sodilariti Tanah Airku (STAR), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Bagaimanapun, hari ini, PCS dan LDP tampil membuat kenyataan bahawa parti mereka tidak mempunyai kaitan dengan BN atau parti gabungan mereka.

Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, berkata parti itu kekal akan bergerak bersendirian pada PRN dan akan bertanding di kerusi yang banyak bagi mengintai peluang untuk menubuhkan kerajaan.

“Sebagai presiden PCS, saya ingin mengulang dan menegaskan sekali lagi dasar perjuangan Parti Cinta Sabah PCS untuk Pilihan Raya Sabah akan datang.

“Kami (PCS) akan bertanding di banyak kerusi, dan tidak akan berpakat atau bergabung dengan mana-mana parti terutamanya parti dari Malaya untuk tujuan Pilihan Raya Negeri ini.

”Tiada perbincangan atau tolak ansur mengenai perkara ini seperti yang dilaporkan di media-media tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Setiausaha agung LDP, Yong Wui Chung, hari ini, menafikan laporan media yang mengaitkan parti itu dengan BN.

Katanya, LDP tidak pernah sama sekali berhubung dengan Zahid atau mana-mana pemimpin lain parti itu untuk membincangkan soal penggabungan antara parti pembangkang di Sabah.

“LDP sendiri juga tidak akan menyertai mana-mana gabungan pembangkang di Sabah kerana parti ini telah menjadi sebuah parti yang bebas selepas meninggal BN pada 11 Mei 2018.

“Sejak selepas PRU14, LDP tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana parti, Kami telah membuat keputusan untuk berjuang sendirian dengan berpandukan kepada aspirasi rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *