DR DAUD : PARTI MALAYA MENJARAH HASIL SABAH, APA ANIFAH BUAT DULU?

KIMANIS : Seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menyelar kenyataan yang dibuat oleh presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman menerusi laman Facebook beliau mengenai kehadiran parti-parti dari Malaya yang telah mengambil kesempatan dengan menjarah hasil-hasil dari negeri Sabah selama ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Dr. Daud Yusof, berkata kenyataan yang dibuat oleh Anifah itu jelas menunjukkan kelemahannya ketika berdepan dengan tekanan politik dari Malaya.

“Anifah telah memegang kerusi Kimanis selama 19 tahun iaitu dari 1999 hinggalah ke 2018 dan memegang jawatan sebagai Menteri Luar selama 9 tahun dari 2008 hingga 2018.

“Dalam tempoh masa yang begitu panjang dan ditambah pula dengan jawatan yang begitu tinggi, dia sepatutnya amat mahir dengan selok-belok politik Putrajaya dan mampu ‘berbisik’ ke telinga perdana menteri pada masa itu untuk menghalang sebarang bentuk penjarahan tetapi dia mengambil keputusan untuk berdiam diri.

“Pengakuan Anifah sendiri ini juga ialah satu bukti jelas bagaimana beliau amat lemah ketika berdepan dengan tekanan politik dari Malaya dan dia hanya berani bersuara apabila dia dan Umno Sabah sudah tidak berkuasa lagi.

“Tanpa sebarang kemahiran mengenai selok-belok mahupun pengaruh politik di peringkat Putrajaya, apakah yang kita boleh diharapkan darinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Daud turut menegaskan bahawa kelemahan Anifah sebagai pemimpin politik Sabah jelas terbukti dalam dua isu yang berkaitan dengan penjarahan yang dikatakan olehnya (Anifah) sendiri.

“Isu pertama adalah berkaitan dengan keputusan Petronas untuk membawa keluar gas asli Sabah dari Kimanis ke Bintulu untuk ditapis menjadi LNG melalui saluran paip gas sepanjang 500km yang mula beroperasi pada 2014.

“Sebagai Menteri Luar pada ketika itu, Anifah sepatutnya mampu menyakinkan Perdana Menteri, Najib Razak ataupun Petronas mengenai kelebihan untuk melabur di daerah ini melalui pembinaan sebuah loji penapis gas asli yang berasingan di Kimanis.

“Ini adalah kerana secara lojiknya, pembinaan loji penapis gas di Kimanis ini sudah pastinya akan merancakkan kegiatan ekonomi di daerah ini dan Kerajaan Persekutuan pula akan meraih pendapatan melalui kutipan cukai korporat dan individu dari entiti-entiti perniagaan yang beroperasi di sini.

“Jika dia masih gagal untuk menyakinkan Perdana Menteri ataupun Petronas pada ketika itu mengenai keperluan Kimanis untuk mempunyai loji penapis gas aslinya sendiri, dia sepatutnya mengesyorkan agar cukai jualan dikenakan terhadap gas asli Sabah yang dibawa keluar oleh Petronas ke Sarawak sepertimana yang dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal tahun lalu,” katanya.

Daud berkata, isu kedua ialah mengenai skandal Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang bernilai RM4 billion bertujuan untuk menyalurkan bekalan gas asli dari Kimanis ke Sandakan bagi tujuan penjanaan bekalan elektrik di kawasan pantai timur.

Katanya, skandal TSGP terbongkar apabila Kerajaan Persekutuan pimpinan PH pada 2018 mendapati bahawa 88% daripada kos pembinaan projek tersebut telahpun dibayar kepada kontraktor projek ini iaitu China Petroluem Pipeline Bureau (CPPB) sedangkan hanya 13% kerja telah siap.

“Skandal ini memang tidak ada kaitan secara langsung dengan jawatan Anifah sebagai Menteri Luar tetapi ingin saya tegaskan disini bahawa sebagai seorang yang diibaratkan sebagai ‘pelindung hak-hak Sabah’, dia sepatutnya mempunyai inisiatif untuk mengetahui secara mendalam mengenai projek mega ini apabila ianya mula-mula dibangkitkan oleh DAP pada 2017.

“Lagipun, projek TSGP bermula dari Kimanis maka takkanlah Anifah tidak berminat untuk mengetahui secara mendalam mengenainya?” katanya lagi.

Daud juga menegaskan bahawa sudah sampai masanya untuk etnik Brunei yang berada di Kimanis memainkan peranan yang lebih penting dalam perjuangan menuntut kepentingan Sabah yang berkaitan dengan gas asli dan petroleum.

“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Darell Leiking yang telah membangkitkan isu mengenai gas asli ini ketika beliau berkempen di pilihanraya kecil Kimanis bulan Januari lalu dimana beliau telah berjaya menyedarkan ramai penduduk Kimanis yang telah ‘dibutakan’ oleh BN dan Umno selama ini.

“Ramai penduduk Kimanis tidak sedar bahawa mereka memiliki khazanah berharga yang sebenarnya mampu membangunkan kawasan ini sepertimana Bintulu telah dibangunkan oleh minyaknya sendiri 100 tahun yang lalu maka sudah tiba masanya untuk etnik Brunei di Kimanis ini mara ke hadapan dan memainkan peranan yang lebih besar dalam menuntut kepentingan Sabah berkaitan dengan gas asli dan petroleum.

“Saya juga amat yakin bahawa sekiranya Warisan memenangi pilihanraya negeri kali ini, etnik Brunei akan mampu bergerak atas satu suara dalam menuntut kepentingan Sabah ini diperingkat nasional bersama-sama dengan Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Darell Leiking,” katanya.-http://beritasabah.com