RUMAH DUA TINGKAT 90 PERATUS MUSNAH TERBAKAR

KINABATANGAN: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal musnah 90 peratus terbakar dalam satu kejadian awal pagi semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Sabah telah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.19 pagi melalui talian MERS 999.

Katanya, sepasukan sembilan anggota penyelamat kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di Suan Lamba Peringkat 2 di sini.

“Kita berjaya mengawal kebakaran tersebut pada jam 10.28 pagi dan operasi tamat sepenuhnya selang sejam selepas itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan oleh Bahagian Penyiasatan Zon Sandakan,” katanya yang turut turun ke lokasi kejadian.

Tambahnya, pasukan operasi itu menggunakan kekuatan logistik sebuah jentera kecemasan Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna.

Fakta ringkas, lokasi kebakaran terletak kira-kira 45 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.