KELAPARAN BERSEMBUNYI DI HUTAN, SUSPEK KES TETAK DITANGKAP KETIKA CARI MAKAN

KOTA MARUDU: Kerana tidak dapat menahan rasa lapar, suspek kes tetak di Kampung Kuyuh, Pitas, berjaya diberkas ketika cuba mencari makanan di rumah saudaranya di sini malam tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, di sebuah rumah di Kampung Binanjar, Paitan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, selepas kejadian di Pitas, suspek terbabit melarikan diri ke hutan berhampiran kampungnya di Paitan.

“Kita telah menjalankan pemantauan di kawasan hutan itu sejak kelmarin dan suspek dikesan memasuki rumah seorang saudaranya.

“Rumah itu telah diserbu dan akhirnya suspek berjaya ditahan jam 8 malam tadi,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.

Mohd Izaan berkata, suspek dipercayai masuk ke rumah itu kerana kelaparan.

“Suspek di bawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian jam 11.15 malam Sabtu lalu, suspek mengamuk selepas dikatakan enggan memutuskan tali pertunangannya.

Dalam kejadian itu,  ibu kepada tunang suspek, Habibah Abungon, 68, mati akibat ditetak sementara empat ahli keluarga yang lain turut cedera diserang suspek.