Buruh di Lahad Datu kena hukum gantung sampai mati sebab kelar leher rakan hingga hampir putus

Seorang buruh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengelar leher rakannya sehingga maut pada tiga tahun lalu di Lahad Datu. 

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas tertuduh, Robin Radjani Saih, 49, didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Robin bersalah membunuh Fazrin Ibrahim, 30, di kawasan simpang masuk Taman Warisan 4, Lahad Datu, antara jam 1.20 hingga 1.40 petang pada 24 April 2018 yang didakwa berpunca daripada masalah hutang.

Dalam penghakimannya, Lim berkata, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pembunuhan melangkaui keraguan munasabah dan oleh itu tertuduh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Sebaik saja mahkamah membacakan keputusan itu, Robin yang berada di kandang tertuduh berdiam diri dan kelihatan tenang.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes itu dibicarakan termasuk saksi utama seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang turut mengalami kecederaan kekal selepas diserang tertuduh.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan apabila lehernya hampir putus akibat ditetak kenalannya menggunakan parang ‘barong’.

Ketika kejadian mangsa sedang memandu dan adik ipar mangsa tertidur di tempat duduk hadapan kereta manakala suspek berada di tempat duduk belakang yang tiba-tiba mengelar leher mangsa.

Serangan yang berlaku dalam kereta itu menyebabkan mangsa yang beralamat di Kampung Tabanak, Jalan Silam, Lahad Datu, mati di tempat kejadian, manakala adik ipar mangsa cedera dengan beberapa jarinya putus akibat ditetak. – Utusan Borneo