TAWAU: Akibat memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian, seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini.
Kamaruddin Libe, 59, mengaku salah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminudin di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 30 April 2022 kira-kira jam 11.45 pagi di KM 36 Jalan Tawau-Kunak, menurut laporan Utusaan Borneo hari ini.
Tertuduh memandu sebuah lori dalam keadaan berbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kematian seorang penumpang sebuah van iaitu mangsa Dayang Nur Afiqah Mecmyn, 11.
Menurut fakta kes, ketika kejadian tertuduh dari arah Sungai Burung menghala ke kilang sawit TSH manakala pemandu van bersama enam penumpang termasuk mangsa dari arah Semporna menuju ke Tawau.
Apabila tiba di lokasi kejadian tertuduh gagal menjaga jarak dan kemudian hilang kawalan sehingga melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mangsa.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan diarah dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas hukuman.
Di Mahkamah sama tertuduh turut didenda RM350 atau lima hari penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan memandu lori tanpa lesen di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 26 (2) Akta yang sama.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis