KPM nafi ketidaktepatan fakta Penubuhan Malaysia dalam buku teks sejarah

Menteri di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Dr Radzi Jidin menafikan ketidaktepatan fakta berkaitan Pembentukan Malaysia dalam buku teks Sejarah di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Walaupun tidak menyatakan penafian itu secara terus, tetapi jawapan yang diberikan menggambarkan beliau menolak sepenuhnya pembetulan fakta perlu dilakukan terhadap buku teks tersebut.

Menurutnya, kandungan sejarah berkaitan Pembentukan Malaysia dalam buku teks Sejarah di peringkat sekolah rendah dan menengah telah diteliti dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah KPM sebelum diterbitkan.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan yang dibangkitkan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dalam Perbahasan Titah Diraja Persidangan Parlimen Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam soalannya Madius meminta Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan supaya memperbetulkan fakta-fakta sejarah tersebut tentang penubuhan Malaysia dalam Buku Teks Sejarah.

Namun, menurut Radzi, Sejarah berkaitan Pembentukan Malaysia telah dimasukkan dalam kurikulum Sejarah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Sejarah Pembentukan Malaysia 1963 dalam kurikulum sejarah KSSR dan KSSM telah mengambil kira cadangan dan dapatan daripada laporan Kajian Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari 2011 hingga 2012.

“Pembentukan Malaysia 1963 merupakan peristiwa bersejarah bagi negara yang perlu dipelajari oleh semua murid mengikut aras dan tahap keupayaan mereka.

“Dalam kandungan kurikulum tersebut, turut ditekankan tentang penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik serta kemahiran pemikiran Sejarah,” jelasnya.

Radzi turut memaklumkan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan dari Sabah dan Sarawak termasuk pensyarah Sejarah daripada universiti awam (UA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta badan-badan berautoriti mengenai sejarah negara termasuk Jabatan Muzium Negeri dan Arkib.

Sebelum ini pelbagai pihak turut tampil meminta kerajaan memperbetulkan fakta buku teks sejarah yang digunakan di sekolah.

Pada tahun 2018, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyuarakan ketidaktepatan dalam buku teks Sejarah berkaitan pembentukan Malaysia di mana Sarawak dan Sabah tidak pernah menyertai Malaya pada 1957 tetapi membentuk Malaysia dengan Malaya, Singapura dan Sabah pada 16 September 1963.

Parti Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) juga telah membuat gesaan yang sama sebelum ini dengan menyatakan bahawa mata pelajaran Sejarah perlu menyatakan dengan jelas fakta sebenar mengenai perkara itu.