Dua Pegawai SPRM didakwa minta suapan RM40,000

Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa untuk menyerahkan RM40,000, bagi menyelesaikan kesnya yang disiasat agensi berkenaan, Khamis lalu.

Tertuduh pertama, Amir Izham Shahak, 32, yang bertugas sebagai Penolong Penguasa SPRM Kluang mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Tertuduh kedua, Wan Kamarul Zaim Wan Mansor, 34, yang bertugas sebagai Penguasa SPRM Johor Bahru pula, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama sebagai ejen kerajaan di SPRM Cawangan Kluang dan SPRM Johor Bahru bagi mencapai niat bersama menipu dengan memperdayakan seorang individu, menurut laporan Berita Harian.

Ia bagi membolehkan kedua-dua tertuduh itu dengan curangnya mendorong individu berkenaan untuk menghantar harta, iaitu wang tunai RM40,000 kepada mereka, kononnya boleh membantu menyelesaikan kes disiasat SPRM terhadap individu berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sebuah kedai makan di Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, kira-kira 7.57 malam, 14 Okt lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin manakala pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Azlan Shah yang mewakili Wan Kamarul, memohon mahkamah memberikan jaminan RM10,000 kepada tertuduh berikutan dia perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

“Tertuduh masih berkhidmat dengan SPRM sejak 12 tahun lalu dan hanya mampu membayar RM10,000 jaminan hari ini,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 Nov bagi pengurusan kes.

Peguam tertuduh pertama, Mohd Salleh Togimin turut memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham, yang masih berkhidmat dengan SPRM sejak tujuh tahun, ditangguhkan ke tarikh lain.

Mahkamah kemudian memutuskan keputusan kes tertuduh pertama disebut pada 24 Nov ini. Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserah kepada mahkamah.