UPKO GERAKKAN JENTERA PiLIHAN RAYA PASTIKAN KEMENANGAN VIVIAN

Ewon, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal dan para pemimpin lain berarak bersama Vivian.

SANDAKAN: 27 April – Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akan menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon DAP Vivian Wong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, UPKO akan bekerjasama dengan parti-parti kerajaan lain iaitu DAP, Warisan, PKR, PPBM dan Amanah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon DAP.

“Sebab itu kita bersama pemimpin UPKO Libaran, Beluran dan Sandakan menghadiri penamaan calon pada hari ini bersama para pemimpin parti-parti lain dan ratusan penyokong berarak dari Industri Ringan BDC menuju ke pusat penamaan di Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini untuk menyemarakkan lagi semangat dan sokongan padu kepada Vivian Wong,” katanya.

Menurut Ewon, UPKO mempunyai lebih 600 ahli yang mengundi di Sandakan terdiri daripada ahli-ahli di Bahagian Libaran, Sandakan, Beluran dan Kinabatangan.

Pada PRK Parlimen Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei ini, calon DAP, Vivian Wong, 30, ditentang oleh calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

Terdahulu pagi ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal mengetuai barisan ratusan penyokong Vivian berarak mengiringi calon berkenaan ke pusat penamaan sebagai tanda sokongan.

Turut bersama Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau, Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin-pemimpin Pusat serta negeri.

Ewon (tengah) bersama para pemimpin parti UPKO, Warisan dan PPBM bergambar bersama sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Sebahagian daripada penyokong Vivian daripada Parti Amanah bergambar bersama selepas perarakan itu.