Liew: PKR Sabah sokong penuh kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyokong penuh kepimpinan Presiden Parti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menyatukan kembali pimpinan parti dan ahli-ahli yang sedang bergolak ketika ini.

Pengerui MPN Negeri Sabah Datuk Christina Liew  (gambar) juga meminta agar pimpinan parti tidak mengeluarkan kenyataan yang semakin menjejaskan keharmonian parti.

“Kita sepatutnya perlu memberi sokongan padu kepada Anwar selaku presiden untuk menyelesaikan kemelut dan masalah yang melanda parti.

Setelah berjaya mengambilalih Kerajaan Pusat dan memegang majoriti kerusi parlimen pimpinan dan ahli-ahli parti perlu fokus mengisi Malaysia Baharu dengan menjayakan agenda reformasi serta perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau,  yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata,  MPN Sabah menyokong kenyataan Dato Seri Anwar agar isu ini tidak menjejaskan usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

“Rakyat mahu Kerajaan Pakatan Harapan menumpukan usaha kepada isu-isu pembangunan dan peningkatan ekonomi dan bukannya dipaparkan dengan persengkataan pimpinan.

Oleh itu saya ingin menyeru agar pimpinan terutama di Sabah dan ahli-ahli bersatu hati dan fokus kepada isu-isu rakyat serta pemantapan cabang masing-masing,” katanya.