Rumah terbakar, sekeluarga hilang tempat tinggal

Oleh: Libona

TENOM: Sebuah keluarga terselamat daripada kebakaran yang menyebabkan rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah di Kampung Uloi di sini, semalam.

Menyedihkan lagi apabila dua buah kereta jenis Proton Wira dan sebuah lori Daihatsu turut terbakar dalam kejadian itu.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Mohd Zainal Sinsian, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.21 pagi dan seterusnya menjalankan operasi memadamkan api menggunakan sumber air dari jentera bomba.

“kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada jam 4.40 pagi namun kebakaran telah memusnahkan seluruh rumah dengan keluasan 25×30 kaki panjang,” Kata Mohd Zainal.

Tambahnya, operasi tersebut ditamatkan pada jam 6.03 pagi.

Dalam pada itu, tiada kecederaan dan gangguan jiwa yang dilaporkan daripada kebakaran ini.

Bagaimanapun, punca kebakaran serta jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.