Penduduk Kampung Bulong luah rasa syukur atas usaha Madius bantu atasi masalah air

DSP Madius bantu penduduk kampung dalam pemasangan ram pam air

TUARAN: Penduduk Kampung Bulong, Kiulu meluahkan rasa syukur atas keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk kampung terutamanya pada setiap kali musim kemarau.

Menurut penduduk kampung, Amat Solimbot, 58, Madius telah melaksanakan satu projek pemasangan pam hidarulik (ram pump) di kampung mereka yang berfungsi mendapatkan air dengan menjimatkan penggunaan bekalan elektrik.

“Beliau juga turun padang untuk meninjau sendiri perkembangan pemasangan ram pump ini bagi memastikan projek ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Saya bagi pihak penduduk ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Madius kerana terus prihatin dengan keadaan penduduk di sini,” katanya.

Amat berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Bulong, di sini, semalam.

Menurut Amat, pemasangan ram pump itu dilaksanakan pada Khamis lalu, namun menghadapi sedikit cabaran kerana hos yang digunakan tidak bersesuaian.

“Kami berterima kasih kepada Pejabat Pengurusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kerana telah membantu kami mengatasi cabaran ini dan menyediakan peralatan yang sesuai untuk memasang ram pump tersebut,” katanya.

Untuk rekod, pemasangan pam hidraulik itu akan memastikan bekalan air akan terus dinikmati kira-kira 43 buah rumah penduduk kampung termasuk pada ketika musim kemarau.

Pemasangannya dibantu oleh Politeknik Kota Kinabalu serta pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS).