COVID-19: Sabah catat 270 kes jangkitan baharu hari ini

KOTA KINABALU, 1 April — Sabah kembali mencatatkan peningkatan dalam jumlah kes jangkitan baharu iaitu meningkat sebanyak 56 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kes hari ini sebanyak 270 kes.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, sebanyak sembilan daerah mencatatkan kes dua angka antaranya ialah Kota Kinabalu (71), Penampang (38), Papar (26), Sandakan dan Tuaran masing-masing 15 kes.

Sementara itu, tiga daerah tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu hari ini iaitu daerah Telupid, Nabawan dan Tongod.

Dalam pada itu, peratusan sporadik kekal tinggi iaitu 61.48% daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini.

Bagaimanapun, Sabah dikatakan sedang melalui fasa penstabilan dan setakat ini tidak ada kluster baharu yang dilaporkan, manakala satu kluster di daerah Kota Marudu telah ditamatkan iaitu Kluster Jalan Kebulian menjadikan jumlah kluster yang masih aktif kini sebanyak tiga kluster.

Selanjutnya, seramai 258 orang atau 95.56% daripada jumlah keseluruhan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga orang dalam Kategori 3, empat orang dalam Kategori 4 dan lima orang pesakit dalam Kategori 5.