Geng plastik hitam diberi amaran bakal kena hukuman

PUTRAJAYA, 1 April – Geng plastik hitam diberi amaran bakal dikenakan hukuman sekiranya ditangkap sepanjang Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan dalam sidang akhbar selepas pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan, tindakan sama akan diambil ke atas peniaga yang menjual makanan kepada orang Islam pada siang hari.

Tambah beliau, hukuman bagi geng plastik hitam bagaimanapun tertakluk kepada undang-undang di sesebuah negeri.

Sementara itu, Idris mengajak seluruh umat Islam di negara ini berpuasa daripada mengeluarkan kata-kata yang menyakiti orang lain kerana ibadah puasa adalah bertujuan mendidik diri meninggalkan perkara mazmumah.

“Ramadan sepatutnya bulan untuk umat Islam berkasih sayang, bersatu padu antara satu sama lain, berlumba-lumba melakukan ibadah dan menghindari perkara sia-sia yang boleh meruntuhkan kesatuan ummah,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, semua negeri telah mengeluarkan kebenaran untuk merapatkan saf solat berjemaah.

Katanya, peluang tersebut perlu disambut orang ramai dengan mengimarahkan masjid mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.