Penunggang motorsikal tersepit bawah kenderaan, meninggal dunia

KUDAT, 2 April — Seorang lelaki dipercayai meninggal dunia selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan pancuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kemalangan di Jalan Sikuati, di sini, malam tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seramai tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.09 petang.

Jelasnya, sebaik tiba di lokasi pasukan bomba bertindak untuk mengeluarkan mangsa , Mazlee Sidan, 38, (penunggang motosikal) yang dilaporkan terselit di bawah kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakla operasi berjaya ditamatkan pada jam 8.34 malam.