Polis Menahan Empat Pengedar Dadah Di Nabawan

KENINGAU, 8 April – Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Nabawan, Rabu lepas.

Difahamkan, semua suspek terdiri daripada lelaki yang berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.30 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Keningau.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, hasil siasatan awal, pihaknya berjaya merampas satu paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 50.48 gram.

Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Keningau dan hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika ditanya pemberita.

Dalam pada itu, Nor Rafidah meminta kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada IPD Keningau atau balai polis berdekatan.