Lelaki nyaris terbakar dalam kereta

KOTA KINABALU, 6 April – Seorang lelaki nyaris terbakar apabila kereta dipandunya tiba-tiba terbakar di tepi jalan berhampiran lampu isyarat Indah Permai, Jalan Sepanggar, di sini, hari ini.

Pemandu kereta jenis Proton Saga FLX berusia 40-an itu bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri sebaik sahaja melihat asap keluar daripada bahagian depan kenderaannya.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 6.04 pagi dan mengerahkan beberapa anggota untuk ke lokasi kejadian.

“Api berjaya dikawal pada pukul 6.30 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 6.53 pagi.

“Proton Saga berkenaan terbakar sepenuhnya manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selanjutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.