SESB-SPRM tandatangan MoU,Lafaz Ikrar Bebas Rasuah

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali gus melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), di sini hari ini.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, langkah itu sebagai usaha berterusan syarikat korporat tersebut dalam memastikan semua operasi dan pentadbirannya bebas daripada sebarang bentuk rasuah.

“Ia adalah manifestasi sokongan kita terhadap usaha negara untuk memerangi rasuah. Kakitangan SESB akan terus melaksanakan tugas mereka dengan integriti, tanpa sebarang bentuk salah guna kuasa.

“Ini selari dengan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang berlandaskan prinsip integriti yang tinggi, serta meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang kami berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Antara SESB dan SPRM di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Madius juga menekankan bahawa tanggungjawab itu turut diaplikasikan kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah SESB.

“Dengan penguatkuasaan Seksyen 17A (Corporate Liability) Akta 10 SPRM 2009 (Pindaan), tanggungjawab Lembaga Pengarah menjadi amat besar dan perlu dipatuhi oleh semua ahli.

“Sebelum melaksanakan sebarang keputusan, Lembaga Pengarah mesti memastikan ia mematuhi saluran undang-undang, prosedur, dan tatacara yang ditetapkan,” jelas beliau.

Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Hadir sama, Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Haji Azam Baki; Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbian dan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir.Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar.