KINABATANGAN: Seorang lelaki yang hilang dipercayai dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai Ladang Pontion Subok, Sukau, di sini, tengah hari tadi, ditemukan meninggal dunia, petang ini.
Mayat Firman Irwan, 24, ditemukan oleh orang awam kira-kira 1.2 Kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 2.30 petang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 4.33 petang.
Terdahulu, mangsa hilang dipercayai dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai Ladang Pontion Subok, Sukau, di sini.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menjalankan operasi SAR sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, pada jam 1.32 petang. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ