KIULU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran menganjurkan Program Gabungan NDV4 dan Kempen Kesedaran Awam Daerah Kecil Kiulu 2024 di Dewan Masyarakat di sini pada sabtu.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata program ini bertujuan memperkasa pengetahuan penduduk mengenai kesihatan haiwan ternakan serta langkah pencegahan penyakit yang mampu menjejaskan ekonomi penduduk.
“Kesedaran mengenai penjagaan haiwan ternakan amat penting kerana ia bukan sahaja melindungi sumber pendapatan mereka tetapi juga memberi impak besar terhadap ekonomi mikro masyarakat setempat,” kata Madius ketika ditemui selepas perasmian program.
Beliau menambah, program yang mendapat sambutan kira-kira 250 orang ini telah memberi peluang kepada penduduk untuk mempelajari cara-cara menjaga kesihatan haiwan ternakan, termasuk pemberian vaksin 3 dalam 1 dan rawatan pennyahcacingan secara berkala, di samping sesi taklimat khusus.
“Sebanyak 1,000 anak ayam dan itik telah diagihkan bersama jagung bersalut NDV4 sebagai vaksin kepada penduduk di sini. Langkah ini bukan sekadar bantuan, malah berpotensi membantu penduduk menambah pendapatan mereka melalui penternakan,” katanya.
Menurut beliau lagi, walaupun pengagihan ternakan ini kelihatan kecil, ia mempunyai potensi besar untuk memperkukuhkan ekonomi mikro di Kiulu, dengan manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan masyarakat.
Dengan usaha ini, Madius berharap penduduk Kiulu dapat memanfaatkan peluang ini untuk memajukan perusahaan masing-masing dan mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ