Batu Sumpah Kauluan lambang persaudaraan dan perpaduan masyarakat Dusun di Tuaran: Madius

TUARAN: Sejarah masyarakat kaum Dusun Kampung Kauluan Tuaran mencatatkan kependudukan dan penerokaan awal yang amat mencabar kerana menjadi sasaran serangan suku-suku kaum Dusun dari Tambunan, Menggatal dan kawasan perbukitan sekitarnya.

Ramai mangsa terkorban dan dipenggal kepala untuk dibawa pulang sebagai lambang keperwiraan di medan perang.

Namun, pada 14 April 1956, sebuah pertemuan bersejarah diatur antara ketua-ketua dan pahlawan-pahlawan dari suku-suku yang sering berperang bagi mencari kata sepakat dan mencapai perdamaian.

Sebagai simbolik perdamaian itu, satu Batu Sumpah telah didirikan untuk tujuan memperingati peristiwa penting tersebut.

Justeru, sebuah upacara Sogit Batu Sumpah telah diadakan di Kampung Kauluan sabtu lalu.

Ia turut dihadiri Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurutnya, acara ini adalah simbol damai yang telah diwarisi sejak tahun 1956, apabila ketua-ketua suku dan pahlawan-pahlawan terdahulu mencapai persetujuan damai di antara mereka.

“Saya difahamkan pada pertemuan itu mereka bersepakat untuk mencapai perdamaian dengan cara meminum darah antara satu sama lain dan bersumpah tidak akan lagi memusuhi penduduk Kampung Kauluan serta semua suku kaum Dusun di daerah Tuaran.

“Sebagai tanda perdamaian, batu ini dipacakkan untuk mengingatkan kita semua tentang pentingnya menjaga hubungan baik sesama masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurut Madius, Batu Sumpah itu adalah lambang ikatan persaudaraan yang kukuh dan menunjukkan bahawa masyarakat Dusun di Tuaran menghargai semangat perpaduan.

“Mengenang semula apa yang telah dicapai dalam sejarah ini memberi kita inspirasi untuk terus mengekalkan keharmonian.

“Acara sebegini penting agar nilai-nilai ini dihayati oleh golongan muda, supaya mereka faham dan menghargai usaha nenek moyang mereka dalam membina masyarakat yang harmoni,” ujar Presiden Kehormat UPKO itu lagi.

Upacara Sogit Batu Sumpah itu disempurnakan Presiden Masyarakat Prihatin Sabah, Ts. Br. Chrisnadia Sinam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, serta pemimpin-pemimpin komunit dari Kg. Kauluan, Kg. Tambulaong, Kg. Bukit Giling, Kg. Telibong, Kg. Nohirot, dan Kg. Ulu Bakut.

Untuk rekod, Batu Sumpah yang juga dikenali sebagai Tugu Muhibbah itu mula dipacakkan pada 15 April 1956 sebagai simbol perdamaian antara suku-suku Dusun di Tuaran yang sering berperang pada zaman dahulu.