SATU MAUT, TIGA PARAH DALAM KEMALANGAN JALANRAYA DI BELURAN

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda

Oleh Faizal Rahman

BELURAN:  Pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda maut manakala tiga penumpang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan jalanraya di KM 75 Jalan Beluran-Telupid pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda, kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 7.00 pagi membabitkan kenderaan pacuan empat roda yang terbabas sendiri ketika dalam perjalanan dari Telupid menuju ke arah Sandakan

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu kenderaan tersebut dari arah Telupid telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan terbabas di sebelah kanan jalan, kata Kasim.

 “Akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga penumpang cedera parah,” tambah beliau.

 Kasim berkata siasatan juga mendapati pemandu disyaki mabuk dan sampel darah telah diambil bagi tujuan toksikologi.

 “Kes disiasat dibawah Seksyen  44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

 Mangsa-mangsa dikenalpasti sebagai Jayacelan Manickam (pemandu), 50,  yang beralamat di Sandakan,  Surianto Hamid, Hamzah dan Zul (penumpang). Ketiga-tiga penumpang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri semasa kejadian.