POLIS BELURAN NAFIKAN KENYATAAN DI SOSIAL MEDIA BERHUBUNG KES ROMPAK

Oleh Faizal Rahman
BELURAN : Polis di sini menafikan kenyataan pemilik akaun Facebook Arwana Putih _“Hati hati simpang beluran hutan simpan. suami saya baru di rompak 2 buah kereta . pesona warna putih yang satu suami saya tidak ingat kereta apa sebab dia acukan pistol di kapala dan dua pisau di perut”_
 
Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda berkata, kenyataan melalui paparan skrin tersebut mulai tular  di media sosial sejak Jun 28.
 
Semakan ke atas laporan polis di daerah-daerah berhampiran mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan dengan kejadian ini, kata Kasim.
 
“Tempat kejadian tersebut merupakan di bawah kawasan pentadbiran daerah polis Sandakan, walau bagaimanapun pihak Ibu Pejabat Polis Beluran sentiasa mengadakan rondaan sepanjang laluan utama Kota Kinabalu – Tawau meliputi kawasan yang disebut dalam kenyataan tersebut” katanya lagi.
 
Kasim menegaskan, tiada sebarang kes dilaporkan berkaitan kenyataan Facebook tersebut dan meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan kenyataan tersebut.  
 
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin mendapatkan kepastian mengenai sebarang perkara yang berlaku di kawasan Beluran boleh menghubungi talian Hotline IPD Beluran iaitu 089-511 222,” katanya.