Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Seorang juragan tempatan dan empat penumpang warga Indonesia serta sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Timbalan Pengarah APMM (Operasi) Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot peronda APMM Tawau yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin telah menahan bot kargo tersebut sekitar jam 1.45 petang berhampiran muara Sungai Haji Kuning pada hari Rabu.
Pihak APMM mendapati bot kargo berkenaan dipercayai menuju ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik dari jeti logpond, Tawau, kata Mohd Yusri.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang juragan dan empat penumpang terdiri daripada dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa masing-masing berumur dalam lingkungan 43 hingga 64 tahun memiliki dokumen diri dan passport yang sah,” katanya lagi.
Sementara itu, bot kargo tersebut turut membawa 4,650 kilogram muatan gula pasir, 200 kilogram tepung gandum, 250 kilogram tepung gandum dan 697 kilogram minyak masak. Kesemua muatan disyaki cuba untuk diseludup ke negara jiran, tambah Mohd Yusri.
“Kesemua barang-barang yang dirampas serta bot kargo yang ditahan dianggarkan hampir bernilai RM20,000 itu diiring masuk ke jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata beliau.
Menurut Mohd Yusri lagi, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa walaupun “Ops Rentas Sempadan” bersama ESSCOM telah tamat baru- baru ini.
Ini penting bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal, kata Mohd Yusri.
Beliau juga meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan dan maklumat melalui talian hotline, Pusat Operasi APMM Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad