Oleh Kahar Ali
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong (gambar) , menyeru kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melihat keperluan penawaran program pengajian yang lebih mendapat permintaan pelajar disini agar mereka dapat melanjutkan pengajian mereka di Kampus Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan di Hab Pendidikan, Jalan Sungai Batang, Batu 10, disini, mengikut pilihan mereka.
Beliau berkata, difahamkan, Fakulti Pertanian Lestari UMS Sandakan itu ketika ini hanya menawarkan 3 program untuk mahasiswanya aitu Crop Production, Horticulture and Landscaping, dan Live Stock Production.
Program-program ini tidak mencapai keperluan atau menjadi pilihan pelajar dan juga difahamkan ia menyebabkan ramai anak Sandakan terpaksa meninggalkan Sandakan untuk melanjutkan pendidikan mereka di tempat-tempat lain selepas menamatkan sekolah menengah.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menubuhkan Fakulti Pertanian Lestari di kampus Sungai Batang di Sandakan pada tahun 2011.
Walaubagaimanapun, setakat ini hanya beberapa program ditawarkan kepada mahasiswa dan ini mengakibatkan kadar pendaftaran yang amat rendah berikutan ia bukan pilihan pelajar.
Wong percaya bahawa jika KPM atau pihak universiti berhasrat untuk membuat penyelarasan dengan membuka program pilihan ramai kalangan mahasiswa,maka keadaan berkenaan juga akan dipertingkat.
Wong menyatakan hal ini kepada Timbalan Menteri KPM semasa beliau berada di dalam Kamar Khas di Parlimen.
Di samping itu, Wong menyatakan isu penghijrahan anak tempatan yang semakin serius di Sandakan, dimana kebanyakan lepasan SPM dan STPM dari Sandakan terpaksa meninggalkan Sandakan untuk melanjutkan pendidikan mereka di tempat-tempat lain seperti Kota Kinabalu, Miri, Kuching, Kuala Lumpur, Singapura atau Australia serta lain-lain kawasan.
Beliau menambah, situasi ini juga menyebabkan anak-anak di Sandakan sukar mencari pekerjaan dan harus mencari pekerjaan di tempat lain untuk menyara hidup selepas tamat pembelajaran mereka.
Sebagai maklumbalas kepada seruan Wong, Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching berkata bahawa pada masa ini seramai 398 orang pelajar sedang mengikuti pengajian dalam peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di kampus Sandakan.
UMS Kampus Sandakan juga ketika ini mampu menampung 1,000 orang pelajar dalam satu masa.
Teo berkata, di Malaysia terdapat 20 buah universiti awam, 36 buah politeknik dan 102 buah kolej komuniti di seluruh negara.
Buat masa ini, KPM juga sedang menumpukan perhatian dan usaha untuk mengukuhkan kualiti institusi pengajian tinggi tempatan.
Katanya, Kementerian Pendidikan juga prihatin terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh Wong dan akan menerima serta mempertimbangkan cadangan beliau dengan teliti supaya dapat memenuhi keperluan rakyat.

More Stories
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara
Ceramah ‘Seronoknya Kimia’ perkasa pemahaman STEM dalam kalangan masyarakat
UMS perkasa pembelajaran STEM melalui program Living Lab @ Pantai Dalit