Larian Belia Malaysia 2019 sasar 2,500 peserta

Juhari (6 dari kiri) dan Phoong (6 dari kanan) bersama ahli jawatankuasa AMBMS menunjukkan poster Larian Belia Malaysia 2019

Oleh Nio James

KOTA KINABALU: Kira-kira 2,500 peserta dijangkakan akan menyertai Larian Belia Malaysia 2019, yang akan diadakan pada 21 September 2019.

Ia merupakan larian amal terbesar dan yang pertama dianjurkan oleh Alumni Majlis Belia Malaysia Sabah (AMBMS) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS).

Pengerusi AMBMS, Dato’ Juhari Haji Janan berkata, larian itu akan diadakan di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Likas bermula pada jam 6.00 pagi. Majlis pelepasan larian itu dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal.

“Larian ini diadakan bersempena dengan Perayaan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2019, untuk menyatukan ahli-ahli persatuan belia di Negeri Sabah,” katanya.

Juhari (6 dari kiri) menyampaikan senarai program AMBMS sepanjang tahun 2019 kepada
Phoong (6 dari kanan). Tutut kelihatan jawatankuasa AMBM

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengetuai rombongan jawatankuasa AMBMS mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe, di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sabah, Wisma Muis, Sembulan dekat sini pada Isnin.

Juhari berkata, Larian Belia Malaysia 2019 merupakan salah satu aktiviti sempena sambutan Perayaan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2019.

“Ia antara lain untuk memberi peluang kepada belia negeri ini untuk berhimpun serta menyatupadukan mereka dalam kesukanan. Membina, memupuk dan melahirkan belia dan masyarakat dengan kekuatan fizikal dan fizikal,” katanya.

Yuran sebanyak RM60 akan dikenakan kepada ahli persatuan belia, manakala orang awam sebanyak RM70 seorang. tarikh tutup penyertaan pada atau sebelum 2 September 2019.

Peserta yang telah disahkan pengesahan akan diberikan satu helai baju T, nombor larian, satu medal (jika menamatkan larian).

Peserta yang menamatkan larian layak menyertai tiket bertuah antaranya hadiah lumayan  berupa motorsikal, basikal, hamper dan sebagainya.

Juhari berkata, larian itu menyasarkan seramai 2,500 orang peserta terdiri daripada ahli MBS, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah, Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Sabah, St. John Ambulan Malaysia Cawangan Sabah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia Perhubungan Sabah, Briged Putera Malaysia Negeri Sabah, Briged Puteri Malaysia Negeri Sabah, Pergerakan Pemuda Malaysia Cawangan Sabah (YMM), Gerakan Belia Bersatu Malaysia Cawangan Sabah (GBBM), Junior Chamber International (JCI) Malaysia Sabah Chapter, Gabungan Persatuan Belia Bersatu Bahagian Pantai Barat Selatan, Gabungan Persatuan Belia Bersatu Bahagian Pantai Barat Utara, Gabungan Persatuan Belia Bersatu Bahagian Pedalaman Bawah, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah, warga Kota Kinabalu dan sekitarnya dan AMBM (ibu pejabat) dan AMBM dari seluruh negara.