SATU LAGI CUBAAN SELUDUP MINYAK PETROL KE NEGARA JIRAN DIBATALKAN POLIS MARIN

Kedua-dua saspek (tengah) ditahan di pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna bersama minyak yang dirampas
Oleh Faizal Rahman

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin Semporna  berjaya menahan satu buah perahu yang sarat dengan muatan minyak petrol dipercayai hendak diseludup ke negara jiran Filipina pada hari Sabtu.

Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri  Ali berkata, ‘Dalam operasi Pensura Khas ini, sebuah perahu  bertempat di kawasan laut Pondohan Semporna telah  ditahan pada jam lebih kurang 5.30 petang hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM).

Pemeriksaan awal mendapati juragannya  seorang lelaki berbangsa Suluk berusia lingkungan 50an tahun serta seorang anak perahu berusia 17 tahun berada di dalam perahu dan dipercayai hendak bergerak ke Sitangkai , Filipina, kata Mohamad Pajeri.

Menurutnya lagi,  sebanyak 2,000 liter minyak petrol yang diisi di dalam pelbagai saiz jerikin telah ditemui di ruangan perahu tersebut dan dipercayai hendak diseludup ke negara jiran Filipina. Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 Juta untuk perseorangan dan penjara tiga tahun, kata Mohamad Pajeri.