Oleh Faizal Rahman
SEMPORNA : Pasukan Polis Marin Semporna berjaya menahan satu buah perahu yang sarat dengan muatan minyak petrol dipercayai hendak diseludup ke negara jiran Filipina pada hari Sabtu.
Komander Pasukan Polis Marin Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali berkata, ‘Dalam operasi Pensura Khas ini, sebuah perahu bertempat di kawasan laut Pondohan Semporna telah ditahan pada jam lebih kurang 5.30 petang hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM).
Pemeriksaan awal mendapati juragannya seorang lelaki berbangsa Suluk berusia lingkungan 50an tahun serta seorang anak perahu berusia 17 tahun berada di dalam perahu dan dipercayai hendak bergerak ke Sitangkai , Filipina, kata Mohamad Pajeri.
Menurutnya lagi, sebanyak 2,000 liter minyak petrol yang diisi di dalam pelbagai saiz jerikin telah ditemui di ruangan perahu tersebut dan dipercayai hendak diseludup ke negara jiran Filipina. Tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 Juta untuk perseorangan dan penjara tiga tahun, kata Mohamad Pajeri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK