LELAKI DIPENJARA SATU HARI DAN DENDA RM 4,000 KERANA BERI KETERANGAN PALSU

Oleh Kahar Ali

SANDAKAN : Gara-gara memberi keterangan semasa perbicaraan kes rasuah tidak selaras yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang lelaki dipenjara 1 hari pada hari Jumaat kerana memberi keterangan palsu.

Hakim Mahkamah Khas Rasuah Abu Bakar Manat juga mengenakan denda sebanyak RM 4,000 atau  penjara sebulan jika gagal membayar denda setelah tertuduh Othman Journi, 53, mengaku bersalah dibawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009.

Menurut fakta pertuduhan yang dibaca oleh Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Faliq Basiruddin , tertuduh Othman melakukan kesalahan tersebut pada 3 Oktober 2018 di Mahkamah Seksyen (Khas Rasuah) ketika perbicaraan berlangsung dengan memberi keterangan tidak selaras yang telah berikannya kepada  pihak SPRM cawangan Sandakan pada  21 Januari 2016.

Tertuduh Othman dalam rayuan kepada mahkamah untuk hukuman beliau diringankan, memberitahu bahawa hanya berkerja di sebuah pasaraya di Kajang dengan gaji bulanan RM 1,400 dan mempunyai tanggungan serta masalah kesihatan.

Pegawai Pendakwa Mohd Faliq meminta Hakim untuk menjatuhkan hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga  orang awam supaya tidak memberi keterangan palsu kepada mahkamah.