LELAKI TEMPATAN DITAHAN PGA DISYAKI CUBA SELUDUP 25 TONG LPG

Tong LPG yang diletak dibelakang kenderaan pacuan empat roda semasa pemeriksaan oleh anggota PGA Batalion 20

Oleh Kahar Ali

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan dan merampas 25 tong LPG di kawasan pantai Kampung Dandulit sini kelmarin.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 ACP Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata saspek berusia 30 tahun sedang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditahan sepasukan anggota PGA Batalion 20 dari Kompeni “A” pada jam 8.40 pagi.

Anggota PGA yang diketuai ASP Ambrus Haji Mohd Ali pada masa itu sedang menjalankan tugas ronda kereta dan hasil pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda tersebut menemukan 11 tong LPG yang tidak berisi, kata Mohd Nasaruddin.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat 14 lagi tong LPG yang berisi di ruang sebuah bot di kawasan pantai. Saspek gagal mengemukakan dokumen berhubung dengan pemilikan kesemua 25 tong LPG tersebut, katanya.

Saspek dan rampasan kemudian telah dibawa ke IbuPejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan selanjut, kata Mohd Nasaruddin.