LELAKI DITANGKAP POLIS MELAKUKAN GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP TIGA REMAJA PEREMPUAN

Saspek yang ditangkap Polis Lahad Datu kerana disyaki melakukan gangguan seksual terhadap tiga remaja perempuan

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU :  Seorang lelaki warga asing ditangkap polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual dengan menunjukkan kemaluannya di hadapan tiga remaja perempuan di kawasan jalan berhampiran Kampung Muhibbah Peringkat 1, Jalan Silam.

Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor berkata, saspek dicekup sepasukan polis di Bandar Sri Perdana pada hari Jumaat jam lebih kurang 4.20 petang ekoran laporan polis dibuat oleh ketiga-tiga mangsa yang berumur 15 dan 16 tahun.

“Saspek yang berusia 21 tahun ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap  Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” kata Nasri.

Menurut beliau, pihak polis turut merampas beberapa barangan milik saspek termasuk sebuah motorsikal dan telefon bimbit untuk tujuan siasatan berhubung kes tersebut.

Saspek telah melakukan perbuatan itu dua kali secara berasingan di hadapan dua remaja pada jam 1.05 dan 1.10 petang pada hari Selasa dan perbuatan yang sama di hadapan seorang lagi remaja pada jam 1.43 petang pada hari Khamis, kata Nasri lagi.

Ketiga-tiga mangsa menceritakan kejadian kepada keluarga masing-masing sebelum dibawa ke Balai Polis untuk membuat laporan polis, tambah Nasri.

Siasatan awal polis juga menunjukkan saspek tidak mempunyai keterangan diri, kata Nasri.