Saspek bersama barang yang dirampas darinya oleh Polis Lahad Datu
Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU : Sepasukan polis dari “Strike Team” Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah menangkap seorang lelaki warga asing yang memiliki dadah jenis syabu seberat 12.86 gram di sebuah ladang sawit di Jalan Lahad Datu- Tungku kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor, berdasarkan maklumat risikan , anggota polis tersebut telah mencekup saspek yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor pada jam lebih kurang 4.00 petang.
“Semasa anggota polis menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri saspek cuba melarikan diri tetapi dapat juga ditangkap,” kata Nasri.
Nasri berkata pemeriksaan ke atas beg silang yang ada pada saspek telah menjumpai satu kotak pensil dan di dalamnya terdapat dua paket plastik berisi bahan lutsinar yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM 1,929.
Saspek, yang tidak mempunyai dokumen keterangan diri, dan barang rampasan di bawa balik ke IPD Lahad Datu untuk siasatan dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, tambah beliau.
Keputusan ujian awal saringan air kencing saspek positif dadah jenis syabu, kata Nasri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK