Bot tunda yang ditahan oleh PPM Tawau di kawasan laut pantai Tanjung Saima pada hari Sabtu
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mencatat dua kejayaan semasa melaksanakan “Op Gelora” dalam tempoh sembilan jam baru-baru ini.
Komander PPM Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Mohd Ali berkata pada Ogos 2 jam 8.30 malam sepasukan anggota PPM telah digerakkan ke kawasan perairan Laut Batu 4 hasil maklumat dari Unit Risikan Marin (URM).
“Operasi ini tertumpu kepada aktiviti penyeludupan rokok yang cuba diseludup masuk ke Malaysia melalui perairan Tawau. Anggota PPM telah membuat pemerhatian aktiviti tersebut dan apabila bot yang dikenalpasti cuba dihampiri, saspek bersama bot telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak PPM,” katanya.
Menurut Mohamad Pajeri, semasa anggota PPM mengejar bot berkenaan, kelihatan saspek telah menjatuhkan barang muatan ke laut. Walaubagaimanapun, pasukan serbuan tidak dapat mengejar bot bersama saspek kerana telah memasuki ke perairan Indonesia.”
“Kesemua barang-barang yang telah dijatuhkan oleh bot berkenaan telah diambil untuk diperiksa. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, barang yang telah dijatuhkan oleh saspek adalah sebanyak 1,070 karton atau bersamaan 204,800 batang rokok yang dipercayai rokok yang diseludup masuk ke Malaysia.” tambah beliau.
Kesemua barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut. Anggaran nilai barang rampasan berjumlah RM38,100. Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(e), Akta Kastam 1967, kata Mohamad Pajeri.
“Dalam kejadian berasingan pada hari Sabtu kira-kira jam 5.40 pagi dikawasan laut pantai Tanjung Saima, bot ronda PPM yang sedang menjalankan rutin tugas operasi ‘Op Gelora’ telah menahan sebuah bot jenis pukat tunda yang di juragani oleh warga Indonesia berumur 39 tahun,” katanya lagi.
Menurut Mohamad Pajeri, bot tunda berkenaan telah melakukan kesalahan iaitu menjalankan operasi memukat tunda kira-kira 1.7 batu nautikal dari pantai. Bot serta juragan di tahan dan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
Rampasan dan anggaran nilai tangkapan ikan pelbagai jenis lebih kurang 50kg berjumlah RM300 belum termasuk kompaun. Kes akan dirujuk ke Jabatan Perikanan atas kesalahan melanggar syarat -syarat lesen perikanan dan ditahan dibawah Akta Perikanan 1985, kata beliau.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK